Pages

23 October 2009

Tips Memilih Mak Andam - Penting !!!

Sila pastikan agar Mak Andam anda tidak menerima tempahan selain diri anda seorang pada tarikh majlis yang sama. Ini adalah kerana, terdapat ramai Mak Andam yang suka mengambil kesempatan dengan menerima tempahan pelanggan sehingga 4 orang dalam satu masa. Apabila ini berlaku, bakal pengantin juga yang menerima padahnya. Kerana apabila Mak Andam tergesa-gesa dan terkejar-kejar melaksanakan tugas, sudah pasti ada banyak perkara yang dibuat secara sambil lewa dan tidak teliti. Bukan sahaja anda tidak berpuas hati, malah sudah pasti penampilan anda tidak kena gaya.


Bersikap cerewet juga merupakan satu perkara yang baik. Namun, hendaklah cerewet itu kena pada tempatnya. Anda juga hendaklah mempunyai ilmu yang tinggi dalam memastikan kehendak anda dituruti. Sebagai contoh, anda boleh bersikap cerewet terutama di dalam memilih warna solekan dan juga jenis hiasan sanggul mahupun cara pemakaian tudung. Nyatakan terus terang tentang apa yang anda suka dan apa yang anda tidak suka. Ini amat memudahkan Mak Andam untuk merealisasikan penampilan anda seperti yang dikehendaki. Bukan sahaja anda akan berpuas hati, malah Mak Andam juga pasti gembira apabila melihat anda gembira.

Bidang Andaman kini bukan sahaja dipelopori oleh kaum wanita, malah telah ramai kaum Adam yang menghiasi industri ini. Ramai yang menyangka hanya Mak Andam lelaki mampu memberikan hasil solekan terbaik. Namun jika itu tanggapan anda, anda sudah melakukan kesilapan besar. Mak Andam wanita kini sememangnya mempunyai kualiti dan kreativiti yang sama hebat malah ada yang jauh lebih hebat dari Mak Andam lelaki. Oleh itu, bagi anda yang sangat menitikberatkan berkenaan situasi dan status halal haram dalam perhubungan, usah mengeluh lagi kerana Mak Andam wanita tetap ada dan mampu memberikan sentuhan terbaik. Anda cuma perlu rajin mencari dan membuat perbandingan agar pemilihan anda adalah tepat dan bertepatan dengan kehendak dan sudah semestinya budget anda.

0 comments: